Tuesday, 15 March 2016

Kisah Cinta Pertama

13.03.2016, Ahad

Hari ini hari bahagia kau setelah 10 tahun berlalu akhirnya kau mengikat tali perkahwinan dengan sang isteri yang baru beberapa ketika dikenali. Ternyata jodoh itu unik. Yang kita kejar dan sanjung-sanjung semakin menjauh dan yang dinanti tak kunjung tiba, namun yang tak disangka datang menyapa sehingga hilang lenyap segala harapan pada sang kekasih yang ditunggu. Itulah jodoh, datang pada waktu dan ketika yang tidak disangka-sangka dan dengan orang yang tidak pernah kita fikirkan.

Ternyata jodoh kau sampai dulu. Tahniah dan syukur kupanjatkan tatkala setelah beberapa tahun kita tidak bersua akhirnya pada hari bahagiamu aku dapat juga hadir menyaksikan penyatuan dua hati yang selama ini kita sering bualkan. Janji aku tepati. Walau siapa pun antara kita yang akan menikah dahulu, kita tetap akan meraikan satu sama lain. Ternyata melihatmu bahagia adalah sebahagian kebahagianku. Melihatmu senyum adalah sebahagian ketenanganku. Wahai cinta pertamaku, aku tinggalkan majlismu dengan sebuah doa agar kau sentiasa bahagia dan senaskhah kalam agar kau sentiasa di bawah rahmatNya.

Wahai cinta pertamaku, kulewati 10 tahun perkenalan kita dengan menyusuri sepanjang perjalanan pantai, mencari di mana tempat untuk kubuang segala kenangan indah itu tapi aku gagal. Aku hanya mampu melihat ombak yang menyapa dan angin yang berlalu seperti mengingatkan aku bahawa kenangan itu tetap tinggal kenangan. Ternyata hari ini aku hanya sekadar terkenang, dan bukan mengulanginya. Hanya sebaris senyuman mampu kuluahkan saat aku menyedari yang aku kini sedang menghadap realiti.

Wahai cinta pertamaku, memiliki kau sebagai kenangan cinta pertamaku adalah hal yang terindah. Mendoakan kebahagianmua adalah kewajipanku. Melupakanmu dalam hayat ini pastinya tidak kerana suatu waktu dulu kau pernah ada dalam kamus hidupku. Terima kasih wahai cinta pertamaku, kita membawa haluan hidup sendiri tanpa sebarang dendam. Terima kasih wahai sang kekasih, pencinta, sahabat dan teman. Doakan jua kebahagian aku =)

C.U.D.I.P.T.A
10 tahun berlalu (03/2006 - 03/2016)